Sunday 24 July 2011

PBB Kecam Cara Malaysia Urus Perhimpunan Aman Bersih

PBB Kecam Cara Malaysia Urus Perhimpunan Aman Bersih
Selasa, 12 Julai 2011 12:11 Hashim Abdullah
KUALA LUMPUR, 12 Julai: Pertubuhan Bangsa-Bangsa bersatu (PBB) menyelar Malaysia kerana menggunakan pendekatan keras  bagi menangani perhimpunan aman anjuran Bersih Sabtu lalu sehingga menyebabkan seorang peserta meninggal dunia dan lebih seribu yang lain ditangkap.
Turut menerima kesan buruk akibat daripada keganasan pihak berkuasa ialah pimpinan utama Pakatan Rakyat termasuk Penasihat PKR, Dato' Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu dan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad yang cedera sehingga terpaksa menerima rawatan di hospital.
Frank La Rue, pelapor khas PBB mengenai hak kebebasan bersuara berkata, tindakan pihak berkuasa Malaysia mengisytihar perhimpunan itu sebagai haram, menutup bandaraya dan bertindak ganas terhadap peserta perhimpunan, menunjukkan Malaysia memperlekehkan proses demokrasi, menurut beberapa laporan media on line awal hari ini.
PBB menegaskan Malaysia yang turut menggangotai Majlis Hak Asasi Manusia telah ‘mengehadkan kebebasan bersuara, berhimpun dan berpersatuan’.
Pakar hak asasi manusia PBB melahirkan rasa kurang senang dengan tindakan ganas pihak polis meleraikan peserta perhimpunan, termasuk melepaskan gas pemedih mata dan menyebur air kimia berasid kepada orang ramai.
Malah tindakan ganas itu turut membawa kepada kecederaan dan satu kematian, kata pesuruhjaya tinggi hak asasi manusia agensi itu dalam satu kenyataan dari Geneva lewat malam tadi.
Malaysia dipilih menganggotai majlis itu tahun lalu kini sedang berhadapan kritikan ekoran undang-undang penahanan pencegahan seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan pastinya menyukarkan peluang untuk dipilih semula.
Insiden kekerasan melampau pihak polis dinafikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar namun pelbagai rakaman yang dipertonton oleh media maya terutamanya menunjukkan sebaliknya.


Sumber daripada Pahangkini.net.

No comments:

Post a Comment